Katakan tidak kepada Zina, Rokok dan Vape!

BERA, 20 Mei 2017 – Remaja merupakan aset negara yang amat penting bagi pembangunan sesebuah negara. Namun begitu, golongan remaja banyak terlibat dengan masalah sosial seperti zina, penyalahgunaan dadah, perlumbaan haram dan sebagainya.

Bagi mengatasi masalah ini terus  tular dalam kalangan remaja, satu program khas ‘Say No To Zina (SNTZ) & Sihat Tanpa Tembakau dan Vape (S2TV) telah dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bera, sebuah sekolah kluster kecemerlangan. Program tersebut merupakan kerjasama Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Temerloh, Ikatan Pengamal Perubatan Malaysia (I-Medik) Pahang, Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) dan My Sihat.

th

Program yang dijalankan ini melibatkan seramai hampir 400 orang pelajar. Program ini terbahagi kepada dua slot. Slot pertama ialah ceramah bertajuk Say No To Zina telah disampaikan oleh Dr. Sakinah binti Yaakob yang merupakan Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Temerloh juga ahli aktif i-Medik. Ceramah yang disampaikan tentang remaja serta perubahan yang dialami oleh remaja dari segi saintifik dan menurut pandangan agama. Turut dikongsikan beliau kisah-kisah teladan remaja yang terlibat dengan zina sehingga melahirkan anak luar nikah memberikan kesedaran kepada para pelajar supaya tidak terbabit dengan perbuatan itu.

 

 

 

Manakala slot kedua pula merupakan forum mengenai Say No To Vape yang dikendalikan oleh Cikgu Annuar bin Mohd Judah selaku moderator dan panelis Ustaz Wan Azmi, seorang pensyarah kanan di UiTM Jengka, Pahang dan Dr Sakinah bt Yaakob. Forum ini mengupas mengenai permasalahan rokok dan vape dalam kalangan remaja khususnya pelajar sekolah itu sendiri. Para panelis menerangkan mengenai hukum menghisap rokok dan vape, faktor-faktor yang mendorong kepada gejala ini serta kesan buruk pada kesihatan manusia akibat perbuatan yang tidak bermoral itu. Para pelajar memberikan respon yang amat baik dengan bertanya pelbagai soalan berkenaan rokok dan vape.

Para guru juga turut memberikan komen yang positif mengenai program ini dan berharap program sebegini boleh dijalankan lagi pada masa akan datang. Semoga I-Medik Pahang, i-GURU, dan ISMA Temerloh akan terus maju dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Malaysia.

Advertisements

Kembalilah kepada fitrah di Ramadhan ini

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji bagi Allah tuhan semesta alam, padanya segala kekuasaan dan kehebatan, juga padanya segala kerahmatan dan keampunan buat semua muslimin muslimat sekalian. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi s.a.w., penghulu anbiyak, tanpa usaha keras dan sifat ihsan baginda, kita tidak temui cahaya hidayah Islam pada ketika ini.

Hati ini sangat membuak-buak, dengan perasaaan yang sungguh mendalam, untuk meluahkan isi hati tentang betapa diri ini merindui bulan Ramadhan yang kali ini. Dalam fikiran itu terbayang sudah saat-saat di bumi Mesir dahulu, dengan suasana yang amat meriah dan gilang gemilang untuk menyambut bulan Ramadhan. Pada zahirnya, dengan banner dan poster Ramadhan diangkat, tanglung dan lampu kelip-kelip siap sedia dipasang, juga masjid-masjid makin diimarahkan dengan majlis ilmu dan tazkirah-tazkirah mengenai Ramadhan.

 

10295136_10202200031584359_1424818353223211291_o

 

Suasana di Malaysia juga tidak kurang hebatnya.  Masjid-masjid sudah penuh dengan akiviti sepanjang Ramadhan, juga imam taraweh dan sumbangan-sumbangan orang ramai untuk mengutip pahala di bulan yang penuh barakah ini.  Nabi Muhammad s.a.w. bersabda dan maksudnya;

“ Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan penghisaban (untuk mendapat keampuanan), diampunkan baginya semua dosa-dosa yang telah lalu”

“ Bila datangnya bulan Ramadhan, terbukalah (seluas-luasnya) pintu Syurga, dan tertutuplah (serapat-rapatnya) pintu Neraka, dan terbelenggulah para Syaitan”

Nah, inilah saat yang kita nantikan, rahmat dan keampunan Allah itu sangat dekat lagi-lagi pada diri ini si pendosa. Neraka jahanam itu terasa jauh-jauh sekali dan pintunya ditutup rapat-rapat. Subhanallah…

Bagi sebahagian daripada manusia, bulan yang sungguh hebat dan mulia ini sama seperti bulan-bulan yang lain. Apabila tiba saatnya, dilalui biasa sahaja dengan puasa dan berbuka, sehinggalah hujung-hujung bulan menanti hari Raya untuk berkumpul sesama sanak saudara.  Sama ada menyediakan diri ataupun tidak, Ramadhan tetap tiba dan dilalui juga, sama seperti bulan-bulan yang lain.

Perasaan yang ini boleh diibaratkan seseorang ingin menghadapi kematian. Ya, meninggal dunia. Sama ada bersedia, menyediakan diri atau tidak, kematian tetap dilalui seperti itu adalah hal yang biasa. Tidak perlu kepada bekalan dan tuaian tanaman di dunia. Hal yang sedemikian perlu berbalik kepada keimanan seseorang itu kembali.

Hakikatnya Ramadhan itu tidak akan tertunda sepertinya juga kematian itu juga tidak akan tertunda. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“ Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila datang waktunya, mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya” ( surah Al –A’raf:  34)

 

Sebuah tubuh yang berkerusi roda

Selain bulan Mei ini diingati dengan Hari Ibu, Hari Guru, Hari Buruh dan Harijadi seseorang, bulan yang mulia ini mengingatkan daku pada hari matinya sebuah tubuh yang berkerusi roda. Seorang tua yang jasadnya telah diwaqafkan untuk perjuangan mengangkat kalimah Allah,  matanya yang buta, hilang deria dengarnya,  dan kata-katanya sangat perlahan kedengaran, tetapi mampu meniupkan ruh ke dalam jiwa anak-anak muda untuk meninggalkan kemaksiatan dan kelalaian lalu menggabungkan diri dengan kesatuan dakwah dan bergerak seiringan melawan musuh Allah ta’ala dari kalangan manusia dan syaitan.

Mengambil semangat Syeikh Ahmad Yassin, mentarbiyah anak-anak muda untuk memperuntukkan masa keemasan ini, di waktu kuatnya tenaga dan semangat kepemudaan untuk bergabung dengan gerombolan dakwah dan membina ketumbukan harakah menentang kayan jahiliyyah. Semuanya bermula dengan madrasah Ramadhan. Mengajak kita kembali kepada bacaan al Quran, hafalan dan tadabbur al Kitab. Mengajak kita kembali kepada berqiamulail, berzikir, bermunajat dan bertaubat kepada Allah s.w.t. Mengajak kita kembali kepada menghidupkan halaqah-halaqah keimanan. Mengajak kita untuk meniupkan ruh jihad kepada masyarakat setempat untuk melawan nafsu amarah bissuk dan hawa jahiliyyah.

Pesan beliau;

“ Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada Allah dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkan jauh kealpaan kehidupan kalian. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat Subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan isi kandungan Al Quran serta mencontohi kehidupan Kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w…..” – zikrayat Syeikh Ahmad Yassin (22 Mac 2004)

Hasilnya, madrasah Ramadhan ini mampu mencetak mujahid dakwah yang hebat. Mungkin perkataan “kembali” adalah suatu yang sangat significant untuk Ramadhan kali ini. Kembalilah kepada fitrahmu, kembalilah kepada Allah s.w.t, kembalilah menjadi mujahid dakwah membantu kerja-kerja umat yang berat ini. Kemuliaan itu hanya pada yang bersama-sama memikul beban tanggungjawab sepertimana yang dilalui oleh para Nabi, sahabat, tabien, salafussoleh, daieyah, rakaiz dakwah, mujahidin dan al akh amalin. Wallahualam, wassalam..

 

852113466_180516

Dr Mukmin bin Mohd Khairi

Setiausaha Ikatan Muslimin Malaysia

(ISMA) Cawangan Temerloh

MABIT Remaja Jerantut

9 Februari, 2016 : i-Guru & KRIM

Sempena Cuti Persekolah, i-GURU Jerantut telah menganjurkan program Malam Bina Iman & Taqwa ( MABIT ) Remaja Jerantut, Pahang, pada 7 – 8 Februari, 2016. Program tersebut telah berjaya dilaksanakan di Masjid Tengku Abdullah (Masjid Lama) , Jerantut dan aktiviti riadhah di Padang FA Jerantut. Seramai 15 orang remaja telah menyertai program tersebut.

photo_2016-02-09_11-03-56

Program dimulai dengan Solat Isya’ Berjamaah di Masjid Tengku Abdullah. Seawal jam 4:30 pagi, para remaja bangun dan membuat persiapan diri. Selepas itu aktiviti ibadah sendirian seperti solat taubat, hajat dan membaca al-Quran. Pada jam 5:00 pagi semua peserta melaksanakan solat sunat tahajjud berjamaah. Imam solat adalah di kalangan remaja tersebut, secara bergilir-gilir. Imam-imam yang dipilih ialah Abu Dzar bin Mohd Annuar ( Tingkatan 4, MTNP ), Mujahid b Mohamad Zawawi ( Tingkatan 4, SMAPT ), Muhammad Afiq b Ramly ( Tingkatan 4, SMAPT ) dan Muhammad Luqmanulhakim b Mohamad Razef ( Tingkatan 4, SMAPT ).

Selepas Solat Subuh , semua peserta membaca Al-Mathurat . Sesudah itu tazkirah ringkas telah disampaikan oleh Abu Dzar bin Mohd Annuar .

photo_2016-02-09_11-04-33

Kemudian semua peserta bersiap-siap untuk riadhah di Padang FA Jerantut. Setelah selesai aktiviti “warm-up”, peserta telah dibahagikan kepada dua kumpulan bagi perlawanan bolasepak. Sarapan pagi disediakan setelah selesai aktiviti riadhah .

Semua peserta rasa seronok dan mengharapkan Program MABIT itu dapat dilaksanakan pada bulan hadapan.

photo_2016-02-09_11-04-28 photo_2016-02-09_11-04-52 photo_2016-02-09_11-04-15 photo_2016-02-09_11-03-36 photo_2016-02-09_11-02-40

 

Program MABIT Remaja Jerantut tersebut telah dianjurkan oleh KRIM dan i-GURU .

i-guru logo.KRIM.400x400

Semoga Allah SWT permudahkan agar pada bulan hadapan program tersebut dapat diteruskan lagi dan mendapat sambutan ramai di kalangan remaja Jerantut.

Cikgu Mohd Annuar b Mohd Judah

Menyingkap topeng musuh Islam

February 9, 2016 Majlis Ulama ISMA

bersih lgbt
TULISAN ini berinsprisasikan pembacaan saya terhadap buku tulisan Dr Munir Ghadban, Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawi. Suatu tulisan yang hebat hingga memberikan kepada kita perspektif yang agak unik dalam memahami sirah Rasulullah SAW.

Lalu dalam satu bahagian tulisan itu ada menceritakan bagaimana kebiasaannya apabila kita tanyakan kepada orang ramai, siapa musuh kita orang Islam, saya yakin ramai akan jawab syaitan.

Jawapan yang diberikan sangat tepat berdasarkan sepotong ayat Al-Quran, firman Allah SWT :

(إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّاِ)

Ertinya : Sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh kepada kamu, maka hendaklah kamu jadikannya sebagai musuh kamu. [Surah Fatir 6]

Namun, persoalan seterusnya yang perlu dijawab, siapakah selain syaitan?

Ramai akan terkeliru sampai yang mengatakan syaitan sahaja musuh kita, selainnya adalah golongan yang kita perlu menyampaikan dakwah kepada mereka. Susah untuk menuduh ada musuh selain syaitan. Kononnya takut-takut kita menafikan rahmat Islam kepada seluruh alam berdasarkan ayat firman Allah SWT :

(وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ)

Ertinya : Dan tidak kami utuskan kamu wahai Muhammad selain untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. [Surah Al-Anbiya’ 107]

Namun begitu, apabila kita membaca sirah Baginda SAW, iaitu setelah tiba di Madinah. Kita melihat bagaimana Baginda menyiapkan bala tentera yang akan menentang musuh mereka iaitu Quraish.

Dr Munir Ghadban ada menyatakan pandangannya terhadap perang Badar yang seolah-olahnya dimulakan oleh Nabi Muhammad dengan hujah untuk merampas harta kafilah dagang Abu Sufyan yang ada di dalamnya harta muhajirin. Dr Munir menyatakan apabila mengkaji kitab Hadis semula, sebenarnya yang memulakan perang ialah pihak Quraish yang mengutus surat kepada Abdullah bin Ubay di Madinah supaya membunuh Baginda SAW.

Dan juga Surat kepada Kaum muhajirin yang Quraish pasti akan memerangi mereka. Oleh yang demikian, pada pandangan Dr Munir yang memulakan perang ialah golongan Quraish iaitu dengan tindakan mengancam Rasulullah dan para muhajirin. Perkara ini juga bukanlah suatu yang ganjil kerana mereka telah merancang membunuh Rasulullah ketika Baginda di Mekah lagi lalu berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW.

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW bersiap sedia menentang musuh Islam yang ketika itu ialah golongan Quraish.

Kembali kepada persoalan di atas mengenai musuh Islam, siapa selain syaitan?

Saya nyatakan di sini dengan tegasnya, syaitan bukan seorang diri, setiap masa dan tempat, dia akan mengambil sekumpulan manusia menjadi pengikut setia bahkan tenteranya yang akan membantu menjayakan misinya menyesatkan manusia.

Pada zaman Rasulullah SAW di awal zaman kelompok ini ialah kaum Quraish yang memerangi Baginda dan Baginda memerangi mereka dan memang berlakunya pertempuran hakiki yang menyebabkan pertumpahan darah di kalangan kedua-dua belah pihak.

Begitulah hakikatnya musuh Islam. Mereka daripada kalangan manusia berkelompok yang merancang menentang, menjatuhkan dan memusuhi Islam. Bukan hanya syaitan yang bayangnya tidak dilihat, tetapi manusia di hadapan mata kita yang kita tidak sedari.

Sebab itulah dalam Al-Quran dalam satu surah lazim yang biasa kita baca bagaimana Allah SWT mengajarkan kepada kita supaya minta perlindungan itu bukan daripada syaitan semata-mata! kerana hakikatnya musuh kita bukanlah syaitan berbentuk jin sahaja.

مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ )

“(Iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia.” (Surah An Nas-6)

Jika di zaman Rasulullah musuhnya Quraish sebelum mereka memeluk Islam, siapakah mereka pada hari ini? jika jauh di luar sana Yahudi dan Amerika, siapa di sini?

Semoga kita berhati-hati mengambil kawan dan lawan. Kejelasan terhadap siapa musuh antara kejayaan Baginda SAW membawa Islam sehingga ke ufuk tinggi.

Ust Ikram Abu Hassan
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Artikel ini telah disiarkan di laman web Majlis Ulama Isma (MUIS) www.muis.org.my.

Kerajaan takkan berani ambil tindakan ke atas syarikat negara anggota TPPA January 18, 2016


TAHUKAH ANDA, jika bauksit di Kuantan itu diusahakan oleh syarikat daripada negara yang menandatangani TPPA, kerajaan tidak akan berani menggantung operasi perlombongan disebabkan pencemaran, jauh lagi menggantung lesen, kerana risiko disaman di ISDS (Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara) berbilion dolar, seperti yang pernah berlaku kepada negara-negara berikut:

Kanada:
Kerajaan Kanada mengharamkan bahan aditif gasolin MMT kerana boleh menyebabkan pencemaran air dan pemanasan global.
Ethyl sebagai pelabur yang mencipta MMT saman kerajaan Kanada, berdasarkan NAFTA.
Kerajaan Kanada menarik balik pengharaman kerana menjangka tidak boleh menang atau tidak mampu untuk mempertahankan kes, terpaksa bayar USD13 juta untuk yuran guaman dan ganti rugi kepada Ethyl Corporation dan mengeluarkan kenyataan ia tidak beracun.

Mexico:
Kerajaan Mexico enggan membenarkan Metalclad melaksanakan projek tempat pembuangan toksik di satu tempat yang diisytihar sebagai zon ekologi.
Metalclad saman kerajaan Mexico.
Tribunal antarabangsa mendapati kerajaan Mexico melanggar perjanjian; “fair and equitable treatment”.
Kerajaan Mexico diperintah supaya membayar USD15.6 juta sebagai pampasan.

Afrika Selatan:
BEE adalah seperti DEB, dikuatkuasakan selepas Apartheid, 2004.
Pada 2007, sekumpulan pelabur dalam bidang perlombongan dari Italy/Luxembourg bawa kes ke ICSID dengan hujah kerajaan melanggar perjanjian; terutamanya dalam aspek “fair and equitable treatment” dan “no less favourable than that awarded to domestic investors“.

Ecuador:
Kerajaan Ecuador membatalkan kontraknya dengan sebuah syarikat Amerika (Oxy) kerana didakwa melanggar perjanjian tidak menjual hak kepada firma lain tanpa keizinan kerajaan.
Tribunal antarabangsa memerintahkan kerajaan Ecuador membayar USD1.8 billion, dicampur dengan USD589 juta untuk kompaun back dated dan separuh kos tribunal menjadikan total penalty sebanyak USD2.4 billion.

Hakikatnya, banyak negara lain lagi yang telah disaman.

Keputusan ISDS dan ICSID adalah muktamad dan tidak boleh dirayu. Hakim-hakim dilantik secara ad-hoc daripada negara-negara Barat.

Kesimpulan: Jika anda mahu hidup di celah debu bauksit dan melihat kedaulatan undang-undang negara anda dicabuli sesuka hati, maka sokonglah TPPA. Saya yakin majoriti orang UMNO tak tahu apa yang mereka sokong, hanya ikut membuta tuli.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Ketua Penerangan Isma

Sidang Khas Parlimen bagi TPPA: Masa untuk para YB bawa suara rakyat January 25, 2016

SETIAP Ahli Parlimen, terutamanya di pihak kerajaan, sewajarnya diberikan kebebasan penuh semasa sesi pengundian pada Sidang Khas Parlimen berkenaan TPPA yang akan bermula esok bagi menentukan sama ada Malaysia akan menyertai TPPA ataupun menarik diri.

Memandangkan keputusan yang akan diundi nanti akan membawa kesan yang besar kepada masa depan negara dan rakyat, khususnya generasi hadapan, ketua whip Barisan Nasional perlu mengumumkan bahawa tindakan disiplin tidak akan dikenakan sekiranya ada mana-mana wakil Barisan Nasional mengundi menentang penyertaan TPPA.

Hal ini akan membuktikan bahawa sidang khas kali ini bukanlah sekadar formaliti ‘rubber stamping’ seperti yang diyakini umum selama ini.

Kebebasan tersebut penting untuk memberi lebih nilai tanggungjawab ke atas setiap ahli Parlimen supaya benar-benar mempertimbangkan kesan TPPA ke atas rakyat di kawasan masing-masing sebelum memberi undi dan tidak berselindung di sebalik alasan terpaksa menurut arahan parti.

Persoalan yang wajar dilunaskan oleh semua ahli Dewan Rakyat ialah bagaimana TPPA yang sedari awal digembar-gemburkan bakal melonjakkan ekonomi Malaysia ke tahap tinggi akhirnya tidak dapat disokong secara konklusif oleh dapatan analisis kos-manfaat yang telah dikemukakan oleh pihak kerajaan.

Berdasarkan analisis tersebut, dengan menyertai TPPA, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) hanyalah sekitar 0.13% ke 1.15% pada tahun 2027! Dan jika tidak menyertai TPPA, KDNK dijangka hanya akan menguncup sebanyak -0.03% bagi tempoh yang sama.

Dengan pelbagai lagi indikator ekonomi yang dikemukakan dalam laporan sama (pertumbuhan import eksport, lebihan dagangan, gaji pekerja dan seumpamanya) hanya menunjukkan perubahan yang sangat marginal, Ahli Parlimen patut mempersoalkan kewajaran segala risiko yang terpaksa diambil demi menyertai TPPA.

Apatah lagi segala unjuran indikator tersebut kelihatan akan lebih banyak memihak kepada golongan pemodal dan taikun industri berskala besar, bukannya kelompok rakyat kebanyakan dan pengusaha kecil yang membentuk populasi terbesar pengundi.

tppa-kempen

Para anggota dewan perlu menyedari hakikat bahawa impak terbesar penyertaan TPPA ialah terjejasnya kedaulatan negara yang dipertahankan selama ini. Ini kerana apa sahaja polisi dan dasar yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan selepas ini perlu dipastikan agar tidak menjejaskan mana-mana bahagian terma TPPA.

Bukan itu sahaja, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh setiap negara anggota adalah meminda semua akta undang-undang sedia ada supaya menepati tuntutan yang digariskan dalam perjanjian TPPA. Setakat ini sahaja, kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 26 undang-undang yang perlu diubah jika Malaysia menyertai TPPA.

Secara efektifnya, negara-negara anggota TPPA, terutamanya Amerika Syarikat, bakal mempunyai suara yang bukan calang-calang pengaruhnya dalam proses penggubalan undang-undang negara pada masa hadapan.

Adakah ini bukan satu pelanggaran ketuanan sebuah negara yang berdaulat? Tidak perasankah bahawa inilah penjajahan bentuk baru yang disebut-sebut secara teori selama ini?

Setiap ahli Dewan Rakyat perlu bertanya kepada diri sendiri samada semua ini berbaloi dipertaruhkan demi mencapai peningkatan 1% KDNK yang diwar-warkan itu.

Ini belum lagi mengambil kira aspek geopolitik rantau Asia Tenggara ini yang hakikatnya merupakan matlamat sebenar kerajaan Amerika Syarikat menjayakan TPPA sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mengimbangi pengaruh China.

Menilai kembali setiap urutan peristiwa yang berkaitan sedari awal sehingga kini – antaranya kelulusan Kongres AS untuk TPPA diproses dengan ekspres, peningkatan mengejut Malaysia dalam ranking penyeludupan manusia, lawatan Obama ke Malaysia sehingga dua kali, lawatan Setiausaha Pertahanan AS, pelonggaran keperluan visa untuk memasuki AS – semuanya memberi petunjuk bahawa keanggotaan Malaysia dalam TPPA ternyata akan lebih memenuhi objektif geopolitik Amerika berbanding ekonomi negara.

Adakah Malaysia wajar tergesa-gesa terjun ke kancah politik serantau ini dengan mengikat komitmen kepada dasar luar Amerika melalui penyertaan TPPA? Adakah Ahli-Ahli Parlimen kita telah benar-benar memahami dan mengkaji  semua pendekatan alternatif dalam mendepani senario ini sebelum tiba hari pengundian pada 27 Januari nanti?

Mereka sewajarnya sedar dan maklum, tanggungjawab utama mereka di Dewan Rakyat ialah menjaga kedaulatan negara dan memelihara kepentingan rakyat, lebih daripada kepentingan parti, apatah lagi peribadi.

Puluhan ribu rakyat telah turun berhimpun, pakar ekonomi bertaraf dunia telah berhujah, ahli akademik dalam dan luar negara telah memberikan analisis, peniaga IKS telah bersuara, kesatuan nelayan dan petani telah berkumpul, ratusan NGO dan kumpulan pendesak telahpun bangkit.

Jika dibandingkan dengan siri jelajah penerangan oleh kerajaan yang dikatakan hanya memfokuskan huraian kepada kebaikan TPPA sahaja, selain sokongan yang kuat setakat ini hanyalah daripada kumpulan kapitalis industri, semua ahli Parlimen sepatutnya telah memahami isyarat dan arah tuju yang dimahukan oleh marhaen kebanyakan.

Ahli Parlimen juga pastinya telah maklum bahawa sidang khas ini hanyalah untuk memutuskan samada Malaysia setuju atau tidak untuk menyertai TPPA. Tiada lagi ruang selepas ini untuk membuat apa-apa pindaan terhadap terma-terma TPPA yang telah pun termaktub di Atlanta pada tahun lalu.

Jikapun ketua whip parti masing-masing tidak mengumumkan apa-apa kelonggaran menjelang sesi pengundian nanti, semua Ahli Parlimen dengan ini diseru untuk memberanikan diri memberi undi yang akan melunaskan amanah dan tujuan asal duduknya anda semua di kerusi empuk Dewan Rakyat yang mulia itu, tidak lain dan tidak bukan sebagai wakil kepada rakyat yang menghantar anda ke sana.

Selamat mengundi kepada para Yang Berhormat.

Umar Hakim

Umar Hakim Mohd Tajuddin
Setiausaha Biro Penerangan Isma

Artikel ini telah disiarkan di laman web rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) www.isma.org.my.

Dewan Negara lulus penyertaan dalam TPPA

TPPA AGENDA YAHUDI

KUALA LUMPUR, Khamis — 28 Januari 2016. Dewan Negara hari ini meluluskan usul menyokong penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berdasarkan undi suara dalam sidang khas di Parlimen.

Kelulusan usul yang diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang itu, menunjukkan bahawa Malaysia sedang bersiap sedia untuk menganggotai pakatan perdagangan terbesar dunia untuk menyertai TPPA.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, TPPA yang telah ditandatangani boleh disemak semula dalam tempoh tiga tahun selepas ia diratifikasikan.

“Banyak proses yang akan berlaku, pertama kita akan tandatangan pada 4 Februari depan kalau semua bersetuju dan seterusnya proses ratifikasi selama dua tahun.

“Lepas tu ada ‘review’ selepas tiga tahun sehingga tahun 2021 dan setiap lima tahun ada pulak kajian dan ini bukan statik.

“Mana-mana negara yang tak ‘ratify’ selepas dua tahun (maka) dia tak jadi ahli TPPA.

“Katakan kita (Malaysia) nak pinda 17 undang-undang dengan 26 pindaan, sekiranya Dewan Rakyat atau Dewan Negara tak lulus, maka tak boleh ‘ratify’, maka tak jalan. Itu dalam undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengubah dasar-dasar penting dalam negara terutama berkaitan Bumiputera dan hal-hal yang tidak boleh diubah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selepas menandatangani TPPA.

Beliau turut meredakan kebimbangan yang ditimbulkan beberapa anggota Dewan Negara berhubung mekanisme penyelesaian pertikaian antara pelabur dengan kerajaan (ISDS) yang dikhuatiri akan memihak kepada syarikat asing.

“ISDS juga sangat penting untuk menjaga kepentingan syarikat-syarikat pelabur Malaysia di luar negara.

“Mekanisme ISDS dalam TPPA adalah yang telah diperbaharui, di mana pertikaian-pertikaian akan dibawa ke Suruhanjaya TPP,” katanya.

TPPA dianggotai 12 negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam, New Zealand, Australia, Kanada, Amerika Syarikat, Chile, Peru dan Mexico.

Ia akan ditandatangani di New Zealand pada 4 Feb ini selepas melalui proses perundingan sejak 2010. TPPA dijangka berkuat kuasa pada 2018.

Rasulullah SAW telah merancang 3 tahun untuk berhijrah.

DSC_0059

Temerloh, Rabu (14 Okt) “ Rasulullah SAW telah merancang 3 tahun untuk berhijrah. Oleh itu untuk kita berjaya melakukan agenda perubahan ummah, perlu kepada perancangan yang teliti. ”  Itulah antara isi ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Wan Azmi bin Wan Ahmad, AJK ISMA Temerloh, sempena sambutan Ma’al Hijrah 1437H di Masjid Taman Sri Semantan. Ceramah telah disampaikan dengan berkesan dan jayanya. Seramai 100 orang ahli kariah lelaki dan perempuan telah menghadiri dan mendengar ceramah yang telah disampaikan.

Ustaz Zakaria, selaku Imam Masjid Taman Sri Semantan , mengucapkan ribuan terima kasih di atas ceramah yang telah disampaikan. Beliau turut menawarkan kepada Ustaz Wan Azmi untuk memberikan ceramah sempena sambutan Maulidur-Rasul akan datang. Hadirin yang hadir berasa puas hati dengan bahan ilmu yang disampaikan.

DSC_0062

Islam adalah Sistem Hidup Yang Sempurna lagi Menyeluruh

km01

Oleh Mohd Annuar Mohd Judah

TEMERLOH, Isnin (5 Okt) – ” Islam adalah sistem hidup yang sempurna lagi menyeluruh. Amat sesuai untuk semua umat manusia, kerana Sistem Hidup Islam adalah daripada Allah SWT. ” Itulah antara mesej yang disampaikan oleh Ustaz Mahayudin bin Awang Chik, YDP ISMA Temerloh, dalam Kuliah Maghrib di Masjid Taman Sri Semantan, Temerloh. Program malam itu telah dihadiri oleh 70 orang ahli kariah masjid, termasuk AJK Masjid Taman Sri Semantan. Jawatankuasa masjid yang diketuai oleh Tn. Hj. Cikgu Taha berbesar hati akan kesudian Ustaz Mahyudin serta 3 orang lagi ustaz ISMA Temerloh mengisi program Kuliah Maghrib pada setiap Isnin , malam.

Sebelum itu , ISMA Temerloh pernah mengadakan Program Hufaz Cilik , sempena cuti sekolah di masjid berkenaan pada 1 hingga 5 Jun, 2015. Sambutan daripada penduduk amat menggalakan. Untuk Kuliah Maghrib pada 12 Oktober nanti, akan disampaikan oleh Ustaz Shahrunizam bin Mohammud (AJK ISMA Temerloh). Bagi sambutan Maal Hijrah 1437H, pihak Masjid Taman Sri Semantan akan mengadakan program bacaan doa akhir dan awal tahun , bacaan Yaasiin serta doa selamat pada 13 Oktober. Seterusnya pada 14 Oktober, Ceramah Perdana Maal Hijrah 1437H, akan disampaikan oleh Ustaz Wan Azmi bin Wan Ahmad (AJK ISMA Temerloh) selepas Maghrib. Semua pembaca dijemput hadir.

 

Blog at WordPress.com.

Up ↑