Ceramah Bahaya Pornografi dan Pendedahan Kerjaya di SMK Seri Bera

 

 

 

BERA, 27 April 2018 : Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bera menyambut baik kedatangan wakil I-Medik Pahang Barat dan wakil I-Guru Pahang dalam Ceramah Bahaya Pornografi dan Forum Pendedahan Kerjaya Ke Arah Membanteras Gejala Pornografi. Program tersebut melibatkan semua pelajar dari Tingkatan  hingga Tingkatan 5 berjumlah 700 orang.

Menurut Dr Mukmin bin Mohd Khairi, Pegawai Pegawai Perubatan Paediatrik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, ketagihan internet di kalangan masyarakat Malaysia khususnya remaja berada pada tahap yang membimbangkan. Malahan, statistik yang dikeluarkan oleh Laman Websense mendapati peningkatan yang ketara di kalangan pengguna internet yang melayari laman web lucah atau pornografi. Pada tahun 2013, Kuala Lumpur menduduki tangga ke -7 dalam senarai penduduk bandaraya yang paling banyak melayari laman pornografi.

Dalam slot seterusnya, Dr Sakinah bt Yaakob, Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Daerah Temerloh memberi penerangan tentang kesan ketagihan pornografi kepada sel-sel otak.

“ Ketagihan pornografi boleh mengakibatkan kerosakan otak hadapan (Prefrontal Cortex) yang akan mengakibatkan seseorang itu hilang kewarasan akal untuk berfikir,tidak mampu membezakan perkara yang baik dan buruk. Malahan, mereka akan memandang pasangan atau orang lain sebagai objek seksual” . Beliau turut menyarankan kepada para guru dan ibu bapa untuk mengawal penggunaan gajet di kalangan anak-anak dan pelajar untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini pada masa hadapan.

Sesi forum pula menampilkan En Abdul Ghaffar, Pensyarah Kanan di Institut Perguruan Guru Lipis sebagai panel pertama dan Dr Sakinah sebagai panel kedua. Forum yang dikendalikan oleh Dr Mukmin bin Mohd Khairi memberi sedikit pendedahan kerjaya di bidang perubatan dan pendidikan kepada para pelajar. En Ghaffar yang mesra dipanggil Cikgu Ghaffar turut memberi nasihat kepada para pelajar supaya menyeimbangkan pelajaran dengan ibadah supaya menjadi seorang Muslim yang cemerlang. Beliau turut memberi galakan kepada pelajar yang berminat dalam bidang pendidikan untuk menyambung pengajian di Institut Pengajian Guru pada masa hadapan.

 

 

 

 

 

 

Para pelajar turut diberi galakan untuk menyambung pegajian di bidang perubatan jika mereka berminat. Cabaran kerjaya dalam bidang itu turut dikongsi oleh Dr Sakinah dalam sesi forum tersebut. Sebagai kesimpulan, para pelajar dinasihatkan untuk menyambung pengajian di bidang lebih tinggi mengikut minat masing-masing. Hal ini kerana semua bidang kerjaya mempunyai cabaran masing-masing. Untuk berjaya dalam sesuatu bidang, perlunya minat dan usaha yang berterusan dalam bidang tersebut. Mereka dinasihatkan untuk memilih laluan yang tepat dan fokus di dalam bidang masing-masing.

Program ini diharap dapat membantu para pelajar memilih laluan kerjaya yang betul seterusnya membendung gejala pornografi yang semakin parah pada hari ini.

Advertisements

Wanita: Keseimbangan antara kesibukan bekerja dan pengurusan rumah tangga

Temerloh, 15 April 2018: ISMA Temerloh memberi penekanan dalam aspek kemahiran pengurusan rumah tangga dalam kalangan wanita bekerjaya, hal ini diutarakan oleh Puan Saedah Md Salleh, Ketua Wanita Isma Temerloh selaku pengarah program sewaktu sesi perkongsian bersama peserta dalam aktiviti Malam Bina Iman dan Taqwa (MABIT) edisi kali ini, yang telah berlangsung pada 14 hingga 15 haribulan April 2018.

Wanita menggalas tanggungjawab yang penting dalam pembentukan sebuah keluarga yang sejahtera. Oleh itu, peranan seimbang harus dimainkan di antara tugas sebagai seorang isteri, ibu dan pekerja.

“ Walau sesibuk mana seseorang wanita itu, dia tidak boleh meninggalkan tugas hakikinya di rumah. Wanita adalah tulang belakang kepada pembangunan sesebuah keluarga. Dia perlu memberi tumpuan lebih kepada pengurusan rumah tangga dan anak-anak berbanding tugasan di luar” ujar Puan Saedah dalam menyampaikan nasihat kepada ahli Isma yang lain.

“Untuk menggalas tugas tersebut, para wanita perlulah mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran pengurusan rumah tangga seperti memasak, mengemas dan menghias rumah. Mereka juga perlu belajar kemahiran ‘multitasking’ dalam menyelesaikan pelbagai perkara dalam satu masa. Dalam masa yang sama, para wanita juga perlu memainkan peranan yang besar dari sudut pentarbiyahan anak-anak. Anak-anak perlu dididik sebaik mungkin agar mereka boleh menyambung perjuangan dakwah dan tarbiyah dari ibu dan bapa mereka.”

Jelas beliau, peranan suami juga tidak kurang hebatnya dalam rumah tangga. Suami perlulah membantu isteri dalam urusan rumah tangga dan pentarbiyahan anak-anak. Beliau turut berkongsi pengalamannya mendidik 8 orang anak di samping tugasnya sebagai seorang guru dan aktivitis dakwah sebagai panduan kepada generasi ibu muda pada hari ini.

Peserta yang terdiri daripada ahli ISMA daripada kawasan Kuala Lipis, Jengka, Jerantut dan Temerloh turut diberi peluang untuk mengasah bakat memasak masing-masing dalam aktiviti membuat roti jala, sebagai salah satu persediaan dalam menyediakan juadah berbuka puasa bagi menyambut bulan Ramadhan yang hampir tiba. Program sebegini akan diadakan lagi pada masa akan datang bagi membantu para wanita memperbaiki kemahiran pengurusan rumah tangga supaya lebih mantap dan effisyen.

oleh :

Fatimah Hana

Aktivis Isma Temerloh

 

Kita Adalah Pengembara

gambar 1

Daku pernah terbaca  sebuah hikayat dari kutaib (kitab kecil) Arab tentang perumpaan dunia;

Terdapat  seorang nelayan menjalani kehidupannya sehari-hari dengan menangkap ikan. Rutin hariannya seperti biasa; bangun pagi dia terus ke laut untuk menjala ikan, apabila beroleh tangkapan, dia akan menjualnya di pasar, selebihnya akan dibawa pulang untuk dimakan oleh keluarganya.

Kehidupannya sederhana, perbelanjaan sehari-hari bergantung kepada hasil tangkapan ikan. Namun dia tetap bersyukur. Hinggalah pada suatu hari dia mendapati ada kelainan pada jala tangkapan ikannya. Terlihat satu objek yang bersinar-sinar tersangkut pada jala tersebut. Objek berbentuk bulat kecil. Dibawanya pulang lalu ditunjukkan kepada isterinya di rumah.

“ Wah, ini mutiara yang asli abang! Harganya sangat tinggi. Baik abang menjualnya di pekan. Pasti kita akan mendapat hasil yang banyak daripadanya”

Bergegaslah sang nelayan ke pekan. Ditunjukkan mutiara tersebut kepada seorang saudagar yang kaya. Setelah diteliti mutiara tersebut, ternyata ia adalah mutiara yang asli lagi bermutu tinggi.

“ Demi Allah jika aku menjual seluruh hartaku dan rumahku belum tentu aku dapat membelinya kerana harganya amat tinggi. Pergilah kamu berjumpa dengan sultan di istana. Tentu baginda dapat membeli mutiara ini daripadamu”. Cadangan dari saudagar diterima oleh si nelayan. Dia terus menuju ke istana dan menghadap sultan negeri itu.

Sesampainya di istana, sang nelayan terus menghadap sultan.

“Ampun tuanku, patik datang ke mari membawa suatu hajat.”

“ Apa hajat kamu?” tanya sultan.

“Begini tuanku. Patik adalah seorang nelayan. Pagi tadi sewaktu patik menjala ikan patik terjumpa sesuatu objek yang terlekat pada jala ikan patik. Apabila tunjukkan pada isteri dan saudagar di pekan, mereka mengatakan bahawa ianya adalah mutiara yang asli dan bermutu tinggi. Patik berhasrat untuk menjual mutiara tersebut, namun oleh kerana harganya yang amat tinggi, tidak ada sesiapa yang mampu memilikinya. Justeru patik ingin menunjukkan kepada tuanku jika tuanku berhasrat untuk memilikinya”.

“Baik, tunjukkan mutiara tersebut pada beta”

Ditunjukkan mutiara tersebut pada sultan. Ternyata sultan amat tertarik pada mutiara tersebut.

“Beta amat menyukai  mutiara ini. Baiklah beta akan tawarkan sesuatu yang amat berharga sebagai tukaran dengan mutiara ini. Pergilah kamu ke bilik simpanan harta beta di bawah tanah. Kamu boleh ambil apa sahaja yang kamu suka disitu, tetapi beta hanya beri tempoh masa selama dua jam sahaja. Selepas itu, kamu harus keluar dari bilik itu.”

Betapa gembiranya si nelayan mendengar titah sultan. Dia langsung bergegas ke bilik simpanan harta di bawah tanah. Sesampainya di sana, terkesima si nelayan apabila melihat harta yang bertimbun di depan mata. Terdapat tiga ruang di dalam bilik tersebut. Ruang pertama dipenuhi dengan wang dinar, manakala ruang kedua sarat dengan emas  dan ruang ketiga terdapat mutiara dan batu permata yang sangat banyak.

“Terasa bagai di syurga”, fikir sang nelayan.

Dia mula mencongak sendirian, harta apa yang dia akan ambil. Rasa takjubnya belum hilang, ditelaah semua emas, permata satu persatu. Dibelek- belek segala perhiasan yang ada. Dia terus terlupa bahawa dia hanya ada  masa yang singkat sahaja, jika tidak dikumpul dari awal, dia akan rugi.

Ternyata sang nelayan larut dalam angan-angannya, dibuai dalam mimpi keseronokannya dalam syurga yang sementara. Sementalah masa dua jam telahpun tamat, pengawal istana datang dan memerintahkan sang nelayan untuk keluar dari bilik tersebut. Terpinga-pinga sang nelayan, dia belum pun sempat untuk mengambil apapun harta yang ada. Sedari awal, dia hanya melayan angan-angannya ditemani harta perhiasan yang banyak, tanpa sempat mengumpul harta-harta tersebut.

Tiada guna sesalan di kemudian hari. Masa telah pun berakhir. Sang nelayan pulang dengan kekecewaan. Tiada apapun yang berhasil. Keindahan harta yang sementara itu telah membuatnya terlupa akan matlamat sebenar dia masuk ke bilik itu.

Ya, begitulah umpama manusia dengan dunia. Dunia terlihat indah pada mata kita. Seolah-olah syurga buat manusia. Kenikmatannya terlalu banyak, hingga manusia berlumba-lumba untuk mengejar semuanya. Ada yang mengejar kekayaan, pangkat, mengumpul harta dan aset seperti rumah dan kereta, tidak kurang yang mengumpul perhiasan peribadi seperti emas dan permata.

Setiap hari fikiran kita disibukkan dengan urusan- urusan dunia tanpa memikirkan bekalan-bekalan yang perlu kita bawa ke negeri akhirat yang abadi. Sedangkan nikmat dunia yang kita sibukkan itu tiada satupun yang dapat kita bawa bersama apabila kita mati nanti.

Al-quran sentiasa mengingatkan kita tentang hakikat dunia yang bersifat sementara dan hakikat negeri Akhirat yang abadi.

Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Hadid, ayat 20 :

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, dan perhiasan dan bermegah-megah antara kamu, dan berbangga-bangga tentang harta dan anak-anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan petani, kemudian ia menjadi kering, maka kamu melihatnya kuning, kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah dan keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”

Itulah hakikat kehidupan dunia yang sementara. Ia ibarat sebuah tempat yang cantik, dipenuhi perhiasan, tanam-tanaman yang subur, kenikmatan harta benda dan anak-anak, kemewahan yang banyak, namun akhirnya ia akan hancur lebur, hingga menjadi debu-debu yang berterbangan dan digantikan dengan Hari Akhirat. Di sanalah kehidupan yang abadi, setiap amal manusia akan dihitung lalu mereka akan dimasukkan di dalam syurga atau neraka sesuai dengan amal yang telah mereka kerjakan.

Walaupun seringkali diingatkan tentang hakikat ini, ramai manusia yang masih tertipu dengan kecantikan dunia ini. Hati dan jiwa mereka tidak benar-benar beriman dengan Hari Akhirat, tentang pembalasan syurga dan neraka. Akhirnya mereka tertipu dengan hawa nafsu mereka dengan nikmat dunia, lantas mereka terlupa akan tujuan sebenar mereka dihantar ke bumi ini.

Wahai manusia, bangunlah dari tidur dalam angan-angan yang panjang. Ketahuilah masa semakin memburu kita. Umur kita di dunia semakin pendek, kematian sentiasa berlari mengejar kita. Hari demi hari, perjalanan kita ke negeri Akhirat semakin dekat. Apakah cukup bekalan kita untuk ke sana? Bagaimana dengan ibadah kita? Apakah cukup amal kita untuk membawa kita masuk ke syurga?

Kelak, semua harta yang dikumpul akan ditinggalkan. Hanya amal soleh yang dapat membantu kita menghadapi Alam Barzakh nanti. Jadi, mengapa perlu disia- siakan masa hidup kita di dunia? Bangkitlah untuk mengumpul bekalan menuju Hari Akhirat yang abadi. Moga-moga setiap titis peluh kita dikira sebagai pemberat mizan hasanah kita kelak.

Ingatlah kehidupan kita di dunia ini ibarat seorang pengembara sebagaimana dinukilkan dalam sebuah  hadis;

عَنْ ابْنِ عُمَرْ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ : أَخَذَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِمَنْكِبَيَّ فَقَالَ : كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ . وَكاَنَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ : إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ .

[رواه البخاري]

Dari Ibnu Umar radhiallahuanhuma berkata : Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam memegang pundak kedua pundak saya seraya bersabda : Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara “, Ibnu Umar berkata : Jika kamu berada di petang hari jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesehatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu “

(Riwayat Bukhori)

Jadilah kita sebagai seorang pengembara di dunia ini,yang hanya singgah sebentar di suatu tempat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi akhir, iaitu negeri Akhirat yang abadi.

 

Sakinah Bt Yaakob

Biro Media

Isma Temerloh

Hari Keluarga Isma Temerloh mengeratkan ukhuwwah sesama ahli

hk7

REMBAU, 2 April : Buat julung-julung kalinya Hari Keluarga Isma Temerloh telah diadakan di luar negeri Pahang. Program selama dua hari satu malam itu telah diadakan di Homestay Astana Raja, Rembau, Negeri Sembilan pada 31 Mac 2018 hingga 1 April 2018. Seramai 50 orang ahli Isma Temerloh yang mewakili daerah Temerloh, Jerantut, Bera dan Lipis telah menyertai program tersebut.

Objektif utama program adalah untuk merapatkan ukhuwwah sesama ahli dan untuk merapatkan jurang antara generasi muda dan tua. Homestay Astana Raja telah dipilih kerana keunikan tempatnya dan kemudahan yang disediakan. Penginapan yang disediakan amat selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan . Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan termasuklah memancing, mengocar ikan keli, berkhemah dan ‘barbeque’.

 

Tarikan utama para peserta adalah memancing. Semua peserta tidak melepaskan peluang untuk memancing ikan di kolam yang telah disediakan. Ikan-ikan yang berjaya dipancing disiang dan digoreng sebagai santapan makan malam peserta. Antara aktiviti lain dilakukan pada sebelah petang adalah mengocar ikan keli, menyiang ikan dan melihat pemandangan sekitar kampung yang cantik.

Aktiviti di sebelah malam adalah tazkirah dan sesi taaruf sesama ahli. Pelbagai pengalaman dan cerita dikongsi oleh generasi awal Isma Temerloh sebagai panduan kepada generasi muda untuk meneruskan tugas dakwah di bumi tersebut.

Hari kedua diteruskan dengan sesi memancing dan sukaneka untuk anak-anak. Peserta tidak melepaskan peluang untuk memancing ikan kerana masih belum puas dengan tangkapan pada hari sebelumnya. Sesi memancing yang rata-ratanya dijuarai oleh ikhwah dijadikan sebagai medan untuk saling bertaaruf dan bertukar-tukar idea sesama mereka. Sesi sukaneka yang dikendalikan oleh akhawat juga berjalan lancar. Anak-anak sangat teruja dengan pelbagai aktiviti sukaneka yang diadakan seperti mencari gula-gula dalam tepung, bawa bola pingpong dalam sudu,lari bawa belon dan isi air dalam botol.

Semua peserta memakai T-shirt Hari Keluarga Isma Temerloh yang ditempah khas sempena program tersebut. Sebelum bersurai, sesi bergambar diadakan sebagai kenangan bersama. Walaupun program tersebut berjalan dalam masa yang singkat, namun objektif program dapat dicapai. Program ini dapat mengeratkan ukhuwwah sesama ahli Isma Temerloh dan menjadi dorongan kepada mereka untuk terus beramal di medan masing-masing. Diharap program sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang di kalangan ahli Isma Temerloh.

hk6

Ceramah Bahaya Pornografi di SMK (Felda) Bukit Mendi

TRIANG, 23 Feb – Ketagihan menonton pornografi merupakan barah yang merosakkan jiwa anak-anak muda pada masa kini. Justeru Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Malaysia (I-Medik) cawangan Pahang telah dijemput untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk Bahaya Ketagihan Pornografi di SMK Bukit Mendi.

            Program ini melibatkan seramai hampir 400 orang pelajar. Ceramah telah disampaikan oleh wakil I-Medik, Dr Mukmin Mohd Khairi dan Dr Sakinah Yaakob. Menurut Dr Mukmin, telefon pintar merupakan alat yang paling mudah untuk mendapatkan bahan-bahan pornografi dan akan menjadi ketagih sekiranya ditonton setiap hari.   

            Menonton pornografi bukan sahaja boleh menjadi ketagihan, tetapi ia juga boleh merosakkan sel-sel otak bahkan lebih serius kerosakannya berbanding dengan kerosakan otak akibat kemalangan, kata Dr Sakinah yang menjelaskan bahaya pornografi dari sudut kesihatan. Selain itu, beliau turut memberi beberapa tips untuk mencegah perbuatan ini seperti bergaul dengan rakan-rakan yang baik, melakukan aktivti yang bermanfaat dan selalu mendekatkan diri kepada Allah.

            Para guru juga memberikan komen yang positif mengenai program ini dan berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Diharapkan para pelajar dapat mengambil iktibar daripada ceramah tersebut dan menjadi seorang yang pintar apabila menggunakan telefon pintar.    

Misi Bantuan Kemanusiaan Kepada Mangsa Banjir

06 Januari 2018 : Baru-baru beberapa daerah di dalam negeri Pahang telah terlibat dalam musibah banjir akibat perubahan angin monsun timur laut. Antara daerah yang terlibat adalah Kuantan, Temerloh dan Raub.

Di Temerloh, sebanyak 2 buah Pusat Pemindahan Banjir telah dibuka iaitu di kawasan Kuala Krau dan kawasan Charuk Putting. Team I-Medik Temerloh berpeluang untuk mengadakan misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di kawasan Charuk Puting.

Tinjauan yang dilakukan oleh ahli I-Medik Temerloh sehari sebelum hari lawatan mendapati beberapa jalan menuju ke rumah-rumah mangsa banjir telah dinaiki air. Walaubagaimanapun, tiada sebarang rumah yang ditenggelami air. Kesemua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir kerana dikhuatiri terputus hubungan dengan orang luar.

Team I-Medik diwakili oleh beberapa orang Pegawai Perubatan, dan anggota Paramedik telah menyampaikan sumbangan kepada semua mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Charuk Putting. Sumbangan disampaikan dalam bentuk hamper makanan, dan makanan-makanan asas. Kesemua barang yang disampaikan adalah hasil sumbangan wang dari orang ramai dang ahli I-Medik sendiri.

Kesemua mangsa banjir berada dalam keadaan yang baik. Mereka mengucapkan terima kasih atas sumbangan dari wakil I-Medik Temerloh.

Semoga mereka terus diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T dalam menghadapi musibah ini.

 

Program Kembara Kepimpinan Pelajar i-GURU Pahang

Program Kembara Kepimpinan Pelajar anjuran I-Guru Pahang telah diadakan pada 19-21 Disember 2017 yang lalu di Negeri Sembilan.

Alhamdulillah program tersebut telah disertai oleh pelajar-pelajar sekolah menengah dari daerah Kuantan, Temerloh, Jerantut dan lain-lain.

Banyak aktiviti yang dilakukan sepanjang program berjalan. Program berjalan lancer dan Berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Semoga para pelajar yang telah menyertai program ini mendapat manfaat sebaiknya dan dapat mewarisi generasi pelapis dakwah pada masa hadapan.

 

Kempen Sihat tanpa Tembakau dan Vape di SMK Abu Bakar

20229139_936773439795351_1044496114052017333_n

20287143_936956793110349_4169924352997473323_o

 

TEMERLOH, 20 JULAI – I-Medik Pahang Barat  telah mengadakan Program Say No to Zina dan Say No to Rokok dan Vape yang bertempat di SMK Abu Bakar, Temerloh Pahang pada 20 Julai lalu. Program itu diadakan untuk memupuk kesedaran para pelajar tentang bahaya zina, vape dan rokok.Program tersebut juga merupakan salah satu dari kempen MySihat anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ia telah dihadiri oleh pelajar-pelajar dari Tingkatan Dua dan Empat seramai hampir 100 orang bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 12 tengah hari. Program itu dimulai dengan ceramah Say No to Zina yang telah disampaikan oleh Dr Sakinah bt Yaakob, Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Temerloh. Para pelajar diingatkan bahawa mereka adalah generasi yang bakal memimpin pada masa hadapan. Jika rosak remaja pada masa ini, maka rosaklah sesebuah negara.Gejala-gejala sosial dikalangan remaja sangat membimbangkan terutama tentang isu zina. Atas sebab itu,ceramah ini berkongsi kesedaran tentang bahaya zina, faktor-faktor yang membawa kepada zina dan langkah-langkah pencegahan daripada zina .Tidak dinafikan ubat kepada masalah ini adalah dengan mendidik masyarakat dengan nila-nilai Islam yang sebenar. Setiap individu Muslim dalam masyarakat perlu menunaikan dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai muslim yang sebenar. Mereka perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan berpegang teguh dengannya. Kepincangan dan kefasadan akan berlaku sekiranya masyarakat Muslim tidak beramal dengan ajaran Islam yang benar dan tidak menjalankan amar makruf dan nahi munkar.

 

 

Sesi kedua adalah sesi forum mengenai Bahaya Rokok dan Vape. Sesi ini bermula dari pukul 10.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari.Ahli forum terdiri daripada Dr Mukmin bin Mohd Khairi, Pegawai Perubatan di Jabatan Pediatrik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, sebgai moderator dan dua orang ahli panel iaitu Dr Sakinah dan Dr Azizi, Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. Sesi forum diadakan dalam suasana dua hala antara ahli forum dan para pelajar. Antara isi-isi yang dikupas dalam forum tersebut adalah kandungan rokok dan vape yang sangat berbahaya, serta kesan-kesan rokok dan vape. Ahli panel turut berkongsi pengalaman mereka berhadapan dengan pesakit-pesakit yang mengalami masalah paru-paru yang teruk hasil daripada kegiatan merokok. Kandungan bahan kimia dalam rokok/ vape bukan sahaja boleh membahayakan nyawa seseorang perokok, malah ia juga boleh mengancam nyawa orang-orang di sekelilingnya. Saban hari semakin banyak kes barah paru-paru dikesan daripada perokok pasif (orang terdedah kepada asap rokok). Oleh sebab itu, perbuatan merokok dan vape ini sangat ditegah dalam agama kerana ia mendatangkan banyak kemudaratan daripada kebaikan.

 

 

Sesi soal jawab telah diadakan selepas forum. Juga diadakan sedikit kuiz sebagai selingan antara forum tersebut. I-Medik berharap para pelajar dapat mengambil iktibar dan kesedaran daripada program tersebut. Kita mengharapkan supaya gejala zina, rokok dan vape ini dapat dibendung di kalangan remaja dan masyarakat kita. Semoga Allah S.W.T sentiasa melimpahkan taufik dan rahmatNya kepada umat Islam di Malaysia.I-Medik Pahang akan sentiasa mengadakan program-program sebegini pada masa akan datang untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat.

Tahniah diucapkan kepada I-Medik Pahang Barat !

Tahniah I-Medik Pahang Barat

JERANTUT, 6 Mei 2017 – Ikatan Pengamal Perubatan Malaysia (I-Medik) Pahang telah mengadakan Misi Perubatan dan Bantuan Kemanusiaan kepada penduduk orang asli di Kg Sungai Berjuang, Jerantut, Pahang.

18300888_10209100715257138_8226120291296039723_n

 

Program tersebut merupakan kerjasama antara I-Medik Pahang dan beberapa NGO lain iaitu PERDAMAS, Preloved for Charity dan juga beberapa badan kerajaan iaitu Institut Perguruan Jerantut, Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut, Klinik Kesihatan dan Pergigian Damak dan Kolej Komuniti Jerantut.

Program yang berlangsung antara 5 dan 6 Mei lalu telah disusun dengan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan hubungan antara masyarakat orang asli dengan para sukarelawan. Antara aktiviti yang diadakan pada hari tersebut adalah pertandingan memasak, sukaneka, pertandingan menggayakan tudung, gotong-royong, pemeriksaan kesihatan, bantuan pakaian dan ubat-ubatan.

I-Medik Pahang telah menghantar sebanyak 13 orang sukarelawan yang terdiri daripada Pegawai Perubatan dan Pelajar Perubatan dari serata Malaysia iaitu Temerloh, Kuantan, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Mereka telah membawa peralatan untuk pemeriksaan perubatan, bantuan ubat-ubatan dan bantuan pakaian hasil sumbangan dari ahli-ahli I-Medik.

 

Di samping I-Medik, pemeriksaan kesihatan turut diadakan oleh para petugas dari Klinik Kesihatan Damak, Jerantut. Penduduk kampung tidak melepaskan peluang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di samping mendapatkan khidmat nasihat dan ubat-ubatan dari para petugas I-Medik. Sukarelawan I-Medik turut pergi dari rumah ke rumah penduduk oraang asli yang tidak hadir ke pemeriksaan untuk bertanyakan keadaan kesihatan agar sebarang khidmat perubatan dapat diberikan secara terus. Rata-rata penduduk orang asli di kampung itu berada dalam keadaan yang sihat.

Program tersebut berjalan lancar dan mendapat kerjasama yang baik dari penduduk orang asli. Walaupun program yang disertai I-Medik berjalan dalam masa yang singkat, namun I-Medik Pahang merasa bersyukur dan gembira kerana banyak matlamat yang tercapai dari program tersebut. Antaranya adalah jalinan ukhuwwah dengan masyarakat orang asli, ukhuwwah sesama ahli I-Medik, dan dapat menyampaikan bantuan ubat-ubatan dan pakaian kepada masyarakat orang asli di Kg Sungai Berjuang.

Diharap program sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang. Semoga I-Medik Pahang akan terus maju dalam menyampaikan dakwah dan bantuan kepada masyarakat Malaysia.

 

18199537_10209100718417217_7387319440687935324_n

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑